Bukan Ipar Sempurna (Akasia TV3)

Pengenalan

Saksikan Bukan Ipar Sempurna, sebuah drama bersiri yang diadaptasi daripada novel popular Bukan Cinta Sempurna hasil nukilan Bellesa. Mengangkat tema cinta, konflik dan keluarga, karya ini bakal menemui penonton menerusi slot Akasia TV3 bermula bulan Mei 2025.

Drama ini merupakan terbitan MIG Production dan diarahkan oleh Ejump Mohd, menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ikmal Amry, Cahaya Nilam, Hafeez Mikail dan Nadiya Nisaa yang bakal menghidupkan watak-watak penuh emosi dan drama.

Bukan Ipar Sempurna akan mula bersiaran pada 13 Mei 2025, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di TV3. Untuk peminat yang ingin menonton lebih awal, episod baharu boleh distrim 24 jam lebih awal secara eksklusif di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store.

Baca juga – Sekam Di Dada (SAMARINDA TV3)

Info Bukan Ipar Sempurna

TAJUKBukan Ipar Sempurna
JUMLAH EPISOD28 Episod
SALURANTV3
SLOTAkasia
TARIKH MULA TAYANGAN13 Mei 2025
WAKTU SIARANIsnin – Jumaat, 7 PM
SKRIPDayang Kartinah, Akmal Firul, Atiah Khuzaidah
ARAHANEjump Mohd
TERBITANMIG Production Sdn Bhd
PARA PELAKONIkmal Amry, Cahaya Nilam, Hafeez Mikail, Nadiya Nisaa, Nessa Maureen, Jihaa Sham, Raff Roslee, Atira Karma, Razzuan Rosli, Fazlina Ahmad Daud, Juhara Ayob, Nik Ramly, Nisa Rissa Isa.

Sinopsis Bukan Ipar Sempurna

Segalanya bermula apabila Firash (lakonan Ikmal Amry) membuat keputusan yang mengejutkan, membatalkan pertunangannya dengan Zara (Jihaa Sham). Keputusan itu bukan dibuat secara semberono, tetapi atas dasar cinta yang mendalam terhadap seorang wanita bernama Nadhia.

Sayangnya, pilihan hati Firash itu langsung tidak mendapat restu daripada ibunya, Puan Farida (Fazlina Ahmad Daud) yang tegas menolak kehadiran Nadhia dalam keluarga mereka. Namun di sebalik penolakan itu, Firash masih memiliki satu penyokong setia—kakaknya, Atma (Nadiya Nisaa), yang menerima Nadhia dengan hati terbuka dan menyambutnya sebagai sebahagian daripada keluarga.

Rumahtangga Firash dan Nadhia pada mulanya kelihatan bahagia, namun langit tidak selalu cerah. Sebuah rahsia besar yang tersembunyi mula mengganggu kebahagiaan mereka. Apabila Nadhia disahkan hamil, Firash mula mengesyaki sesuatu apabila tempoh kandungan tidak sepadan dengan usia perkahwinan mereka. Persoalan mula timbul—adakah Nadhia berlaku curang? Dan jika benar, siapakah bapa kandung kepada bayi itu?

Di saat mereka berusaha menyelamatkan rumah tangga, bayangan masa silam datang menghantui. Kemunculan semula Zahin (Hafeez Mikail), bekas kekasih Nadhia, menggugat kestabilan emosi dan kepercayaan dalam perkahwinan mereka. Kehadiran Zahin tidak hanya menggoyahkan perasaan Nadhia, malah mencetuskan perancangan jahat bersama Atma—yang tidak disangka-sangka berpihak kepada suaminya, Zahin.

Tanpa belas kasihan, mereka merancang untuk memisahkan Firash dan Nadhia dengan melemparkan tuduhan palsu terhadap Nadhia. Difitnah sebagai wanita penggoda, Nadhia terpaksa menanggung malu dan sakit hati apabila Firash sendiri menyaksikan insiden itu dan mula menyimpan kemarahan yang membuak-buak terhadap isterinya. Cinta yang dulunya diperjuangkan kini bertukar menjadi dendam membara.

Apakah Nadhia mampu bertahan dalam rumah tangga yang penuh dengan dusta dan pengkhianatan? Dan sampai bilakah Firash akan terus dikuasai oleh emosi hingga menutup pintu kepercayaan dan kasih sayang terhadap wanita yang pernah menjadi pilihannya?

Galeri